Font Size

Screen

Profile

Menu Style

Cpanel
  • PDF

Ketua Menteri Sabah

Ketua Menteri Sabah

HALATUJU

Semasa Y.A.B. Datuk Chong Kah Kiat menerajui Kerajaan Negeri, beliau telah memberi tumpuan kepada tiga masalah besar, iaitu (1) pendatang haram atau PATI, (2) pembalakan secara haram dan (3) amalan menggunakan bom dalam penangkapan ikan. Ketiga-tiganya memerlukan penyelesaian melalui tindakan penguatkuasaan yang lebih rapi.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan penghargaan atas kejayaan beliau menangani sebahagian besar daripada masalah-masalah ini. Amat nyata sekali bahawa rakyat Negeri Sabah amat berterima kasih kerana beban ini dapat dikurangkan dalam masa yang agak singkat.

PERANCANGAN DAN KOMITMEN

Sebagai Ketua Menteri baru, pertama sekali, saya akan pastikan kejayaan yang dicapai oleh mantan Ketua Menteri akan terus dipertahankan.

Di samping itu, usaha ke arah mengurangkan pembaziran serta meningkatkan kecekapan jentera awam negeri dan agensi-agensinya juga akan terus diperhebatkan. Usaha ini telahpun diberi perhatian dalam Bajet 2003 Negeri Sabah yang dibentangkan pada bulan Oktober lalu. Antara penekanan yang akan diberi tumpuan ialah (i) meningkatkan lagi kemahiran dan kecekapan pasukan pengurusan di semua peringkat organisasi, (ii) meningkatkan kualiti profesionalisme dan (iii) memantapkan budaya akauntabiliti semua pihak.

Organisasi serta mereka yang tidak mengendahkan usaha ini akan menerima tindakan yang wajar. Sekaligus, agensi-agensi yang lemah juga akan dipulihkan.

Namun, tumpuan utama akan hendaklah diberikan kepada Agenda Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah secara menyeluruh.

a) Agenda Pembangunan Ekonomi

Bagi meningkatkan kekuatan dan kestabilan ekonomi negeri, agar ia tumbuh secara mapan, sektor pertanian, pelancongan dan pembuatan akan diberi keutamaan.

Pertama, sektor pertanian perlu dipermodenkan untuk meningkatkan lagi produktiviti pengeluaran produk, menjana lebih banyak produk-produk nilai tambah, meningkatkan mutu produk, di samping mengurangkan kebergantungan kepada bahan-bahan makanan import. Konsep penzonan yang lebih efektif dari segi pengeluaran produk juga akan diperkenalkan.

Sektor ini perlu diperkembangkan hingga menjadi sumber utama dalam pembangunan dan kemajuan ekonomi negeri Sabah. Dalam konteks ini, proses pertanian perlu dipermodenkan, dari peringkat penanaman hingga pemprosesan sesuatu produk serta pemasarannya. Melalui perubahan ini, Negeri Sabah akan muncul sebagai pusat pertanian moden yang terkemuka di peringkat nasional dan rantau ini.

Khazanah biodiversiti Sabah juga perlu diterokai secara lebih bijak dan agresif. Universiti dan badan-badan penyelidikan awam serta swasta akan memainkan peranan utama dalam memantapkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R & D) dan mencetuskan era bioteknologi dan bioekonomi di Negeri Sabah. Sebagi contoh, potensi akuakultur, perikanan laut dalam dan herba perlu direalisasikan sepenuhnya.

Dalam menjayakan perubahan sektor pertanian, Kerajaan Negeri akan melipatgandakan penyaluran bantuan (modal, kepakaran, infrastruktur dan jaringan), terutamanya daripada Kerajaan Persekutuan. Di samping itu, pihak swasta juga akan dilibatkan secara aktif.

Kedua, sektor pelancongan akan diperkembangkan lagi agar sumbangannya kepada KDNK negeri menjadi lebih besar. Selain menarik bilangan pelancong yang lebih ramai melalui pemasaran yang lebih strategik, usaha-usaha ke arah meningkatkan infrastruktur, produk-produk baru yang sesuai dengan pelanggan dan nic baru akan menjadi sasaran utama. Saranan Y.A.B. Perdana Menteri untuk menarik seramai 23 juta pelancong perlu disambut secara positif. Negeri Sabah perlu mensasarkan sekitar 2.7 juta pelancong setahun dalam masa 5 tahun.

Ketiga, di sektor perusahaan peranan dan sumbangan SMI dan SME akan diberi perhatian. Selain meningkatkan kekurangan infrastruktur bagi membantu SMI dan SME, mereka juga perlu memodenkan perusahaan mereka.

Memandangkan negara kita telah menggiatkan proses peralihan ke arah K-ekonomi, saya juga akan meninjau semula agenda pembangunan negeri untuk menjayakan peralihan ini sebagai pelengkap kepada P-ekonomi. Bagi menjayakan agenda ini, isu jurang digital (digital divide) antara masyarakat desa dan bandar serta SME dan SMI akan ditangani secara sistematik.

Pada hemat saya, bagi menjayakan ketiga-tiga teras pembangunan ekonomi yang disebutkan, tumpuan serius perlu diberikan kepada aspek pembangunan dan kemajuan sumber manusia. Dalam konteks ini, semua aspek pembangunan negeri akan disemak untuk memastikan keperluan sumber manusia adalah seiring dengan permintaan kemajuan yang dirancang di peringkat negeri. Sumbangan institusi pendidikan dan latihan, seperti IPTA, IPTS, politeknik, ILP (Institut Latihan Perindustrian) dan sebagainya perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam konteks rancangan jangka panjang kita perlu kurangkan kebergantungan kepada pekerja/buruh asing, khususnya mereka yang kurang mahir.

Hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang mesra dan baik perlu dimanfaatkan dalam bentuk kerjasama yang lebih erat dan efektif antara jentera Persekutuan dan Negeri. Jalinan ini akan mempercepatkan lagi proses pembangunan dan kemajuan negeri.

b) Agenda Pembangunan Sosial

Walaupun kemajuan ekonomi negeri diberi keutamaan, namun komitmen terhadap keperluan sosial tidak boleh diketepikan. Pembelaan rakyat termiskin dan mereka yang berada di luar bandar akan terus mendapat perhatian. Program sosioekonomi bagi menangani masalah kadar kemiskinan yang agak tinggi dan penyediaan infrastruktur, kos rumah rendah dan sederhana akan terus dipergiatkan. Sebagai contoh, Jawatankuasa Kerja Kemiskinan akan diaktifkan semula untuk menyelaras dan memantau kejayaan program.

Penyediaan tapak dan perumahan yang sesuai akan disediakan agar kaum Bumiputera tidak terpinggir daripada kawasan bandar. Langkah ini juga akan mengurangkan masalah setinggan di kawasan bandar.

Oleh kerana rakyat agak peka tentang kepentingan alam sekitar maka usaha yang lebih sistematik akan digiatkan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Antara yang disasarkan ialah aspek pembersihan dan menceriakan kawasan bandar dan desa. Program ini akan meningkatkan imej Negeri Sabah dan boleh menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan.

c) Agenda Politik

Oleh kerana Pilihanraya Negeri perlu diadakan selewat-lewatnya pada bulan Mac 2004 saya juga akan memberi tumpuan kepada hal ini. Persediaan awal ke arah pencapaian kemenangan Barisan Nasional akan mendapat perhatian.

Saya juga ingin melihat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik diberi nafas yang baru. Usaha-usaha ke arah ‘ethnic trust building’ akan dipergiatkan demi kepentingan masa depan kita. Rakyat Negeri Sabah perlu menerima hakikat bahawa kestabilan politik dan ekonomi akan memastikan Agenda Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah menjadi suatu realiti menjelang tahun 2020.

Di peringkat parti, UMNO, sebagai parti tunggak Kerajaan Barisan Nasional, akan sentiasa bekerjasama dengan parti-parti komponen BN agar visi dan misi besar ini diberi dukungan yang padu.

Walaupun pihak kerajaan akan menerajui proses pembangunan negeri, namun rakyat juga mempunyai peranan dan tanggungjawab mereka. Kita perlu gemblingkan tenaga kita agar kejayaan yang dicapai dikongsi bersama. Dalam semangat inilah, akhir sekali saya mengajak semua pihak, sama ada pemimpin atau rakyat jelata, marilah kita membulatkan tekad kita untuk menjayakan misi Kerajaan Barisan Nasional Sabah.

 

Pautan: Laman Web Rasmi Ketua Menteri Sabah

You are here Sumber Pautan Pilihan Ketua Menteri Sabah
Majlis Daerah Beaufort

Majlis Daerah Beaufort menjamin kesejahteraan masyarakat majmuk di Daerah Beaufort.

Newsletter

Subcribe
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari Ini368
mod_vvisit_counterSemalam311
mod_vvisit_counterMinggu Lalu1746
mod_vvisit_counterBulan Lalu10520
mod_vvisit_counterKeseluruhan700399

We have: 7 guests, 3 bots online
IP Anda: 54.224.41.46
Hari ini: Jul 20, 2017