Beaufort merupakan salah satu Daerah dan Pekan yang terletak di Sabah. Tapak Pekan Beaufort telah dipilih oleh Encik William Clake Cowie yang merupakan seorang Pegawai Syarikat Borneo Utara British yang juga merupakan pengarah Urusan Syarikat itu pada Januari 1898. Tapak yang sebenarnya tidak didiami ini telah dibuka untuk mendirikan sebuah perhentian keretapi berdekatan dengan Teluk Brunei. 

Nama Beaufort diambil sempena memperingati seoarng gabenor bernama Leicester P. beaufort yang telah mentadbir Sabah antara tahun 1896 hingga 1900. Sebelum ini, daerah ini dinamakan Padas bersempena dengan nama sungai Padas yang mengalir di Daerah ini.

Pekan Beaufort telah berkembang sebelah menyebelah sungai padas. Oleh sebab itu, ia terbahagi kepada dua bahagian masing-masing mempunyai stesen keretapi, rumah-rumah kediaman pegawai kerajaan dan bangunan-bangunan kedai. Bahagian Barat Beaufort menguruskan stesen keretapi yang menuju ke Bukau dan Weston, manakala bahagian timur pula menghubungkan Kota Kinabalu dan Tenom.

Beaufort juga dijadikan pusat pentadbiran Kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Seorang Pegawai Daerah telah ditugaskan untuk mengurus pentadbiran Beaufort dan kawasan-kawasan yang berhampiran termasuk Kuala Penyu, Membakut, menumbok dan Klias.

Kegiatan pertanian merupakan aktiviti utama penduduk Beaufort. Penanaman sagu telah giat diusahakan oleh penduduk tempatan dan juga pengusaha Eropah. Namun pada awal abad ke 20, penanaman sagu telah diketepikan oleh ladang-ladang sagu seperti ladang Woodford dengan menumpukan perhatian terhadap penanaman getah yang pada masa itu mendatangkan pendapatan yang amat lumayan kepada pengusahanya. Kemajuan dalam industri getah pada masa itu telah menyumbang kepada perkembangan bandar Beaufort sehingga dikenali sebagai “Bandar Getah”. Ini kerana kebanyakkan ladang-ladang getah telah dibuka dan stesen keretapi pula sibuk menguruskan bahan-bahan berkaitan dengan industri getah.

Pada masa lalu, penduduk Beaufort menggunakan sungai sebagai kemudahan perhubungan, satu satunya sungai yang terpenting pada waktu itu ialah sungai Padas dan Sungai Klias. Segala hasil pengeluaran penduduk diangkut menggunakan perahu untuk dibawa ke pekan. Keistimewaan pada sungai tersebut ialah boleh menghubungkan beberapa buah daerah. Sungai Padas contohnya menghubungkan Daerah Tenom, Sipitang, dan Weston, sementara Sungai Klias Menghubungkan Menumbok. Ini memudahkan penduduk pada masa itu membawa hasil pengeluaran barangan ke daerah-daerah tersebut. Selain itu, pembinaan landasan keretapi pada tahun 1900 oleh Chartered Company, Beaufort ke Jesselton (Kota Kinabalu), beaufort ke Tenom dan Weston ke Beaufort juga telah memudahkan perhubungan pada masa itu. Landasan Keretapi Weston ke Beaufort telah ditamatkan pada tahun 1963 apabila permulaan pembinaan jalan raya dari beaufort ke weston dan ke sipitang trelah siap.

Semasa meletusnya perang dunia kedua pada tahun 1945 banyak infrastruktur landasan telah rosak. Akibatnya landasan antara Tenom ke Melalap telah ditutup dan seterusnya dari Beaufort ke Bukau setelah pelabuhan Kota Kinabalu menjadi pelabuhan utama British North Borneo Chartered Company.

Landasan keretapi pertama dibina dari Bukau Ke Weston sepanjang 37 km dan dari Beaufort ke Melalap sepanjang 65 Km.

Seperti bandar-bandar lain di sabah, Beaufort tidak terkecuali dari dimusnahkan akibat pengeboman yang dilakukan oleh Askar Australia semasa perang Dunia Kedua. Oleh itu, terdapat Tugu Peringatan Starcevich di Beaufort yang terletak bersebelahan dengan Pejabat Daerah Beaufort.

Pautan Pilihan


Hak Cipta Terpelihara Majlis Daerah Beaufort 2018 @mdbft2018.
Terma & Syarat | Dasar KeselamatanDasar Privasi

PENAFIAN: Pihak MDBFT tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami disebabkan 
penggunaan sebarang maklumat yang terdapat di dalam laman web ini

.